Polis kesan saksi kes cabul kanak-kanak

KAJANG – Polis sedang mengesan saksi berhubung dakwaan seorang lelaki warga Bangladesh mencabul seorang kanak-kanak perempuan di sebuah kedai serbaneka di sini pada 27 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan video yang dimuat naik pemilik akaun X pada Jumaat yang memaparkan dakwaan suspek memegang dada kanak-kanak.
“Hasil semakan mendapati laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun pada 12 Mac lalu, mendakwa anaknya berusia sembilan tahun dicabul pekerja terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Naazron berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 27 Februari dan laporan hanya dibuat dua minggu kemudian selepas mangsa menceritakan insiden itu kepada pengadu pada 11 Mac.
“Saksi kejadian masih dikesan bagi membantu siasatan memandangkan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Norfaziana Sirkam, di talian 019-5759045 atau tampil ke mana-mana balai polis berdekatan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
