Ridzuan mahu UM-Damansara tampil matang hadapi JDT II

UM-DAMANSARA United mahu memanfaatkan momentum kemenangan ke atas Perak FA apabila melayan kunjungan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Arena UM, Kuala Lumpur, Ahad ini.
Pengendali pasukan, Ridzuan Abu Shah, menegaskan anak buahnya perlu menampilkan kematangan dalam permainan apabila berdepan skuad pilihan dari selatan tanah air itu yang dianggap antara pencabar utama musim ini.
“Kemenangan ke atas Perak FA adalah permulaan baik. Alhamdulillah, setiap pemain berusaha keras untuk mencapai keputusan positif.
“Namun, JDT II bukan calang-calang pasukan. Mereka berstatus ‘feeder team’ kepada sebuah kelab besar.
"Jadi, saya harap pemain bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal untuk aksi yang lebih mencabar ini,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebagai rekod, anak buah Ridzuan selepas ini akan berdepan penyandang juara JDT apabila memulakan kempen Pusingan 16 Piala FA 2025/26 di UM Arena, pada 16 Ogos.
Pada aksi pembukaan liga sebelum ini UM-Damansara mencatat kemenangan 1-0 hasil jaringan Shafizi Aqmal pada minit ke-73 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Ahad lalu.
Mengulas lanjut, Ridzuan memberi bayangan bakal memperkuatkan pasukannya dengan seorang lagi pemain import bagi memperkukuh barisan serangan.
“Kami masih menunggu ketibaan seorang penyerang import. Diharap kehadirannya nanti dapat menambah sengat di bahagian hadapan dan melengkapkan perancangan taktikal musim ini,” ujar bekas pengendali Malaysian University Football Team (MUFT) itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
