'Bencana penyakit berjangkit' hampiri Gaza

GENTING GAZA - Kementerian Kesihatan Gaza memberi amaran tentang risiko penularan wabak Sindrom Guillain-Barre (GBS) di wilayah itu di tengah-tengah krisis kebuluran dan malnutrisi yang kini mencapai tahap kritikal.
Ketua Pengarah kementerian itu, Munir al-Bursh berkata, data menunjukkan berlaku peningkatan ketara kes lumpuh lembik akut dalam kalangan kanak-kanak dan ia semakin membimbangkan kerana tiada rawatan tersedia untuk penyakit tersebut.

"Sumber air tercemar dikenal pasti sebagai punca utama GBS. Serangan penyakit itu bermula dengan kehilangan pergerakan otot secara tiba-tiba yang biasanya bermula daripada kaki sebelum merebak ke bahagian atas tubuh.
"Kanak-kanak paling berisiko tinggi," jelasnya.
Beliau turut menyifatkan situasi itu sebagai 'kematian beramai-ramai' selain hujan bom dan peluru bertalu-talu yang terus melanda Gaza.
"Keadaan hidup yang teruk di enklaf itu dengan penduduk Palestin terpaksa bersesak di kawasan yang berbaki 18 peratus hingga menyebabkan kira-kira 40,000 orang menetap dalam lingkungan setiap satu kilometer persegi.
"Situasi tersebut mengakibatkan penyakit lebih mudah merebak," ujarnya lagi.
Bursh turut menzahirkan kebimbangan terhadap senario lebih dahsyat jika perang genosid dan krisis malnutrisi teruk berlarutan.
Menurutnya, golongan paling berisiko tinggi ialah mereka yang menghidap penyakit kronik dan kanak-kanak yang tidak mendapat nutrisi lengkap.
"Sekatan berterusan ke atas penghantaran bekalan kemanusiaan mendorong Gaza terjerumus ke ambang krisis kebuluran tahap kelima yang mengancam nyawa penduduk Palestin dan membunuh mereka secara perlahan-lahan," katanya.
Pada Isnin, tiga kematian akibat GBS dilaporkan dan dua daripadanya melibatkan individu berusia di bawah 15 tahun.

Kementerian Kesihatan Gaza turut mendedahkan wilayah itu bakal dilanda 'bencana penyakit berjangkit' susulan pengesanan virus usus menerusi ujian makmal yang dikatakan tiada kaitan dengan polio.
Penemuan itu menunjukkan penyebaran patogen berpotensi berbahaya dalam persekitaran kesihatan awam yang sudah pun merosot di samping operasi kemudahan perubatan yang terjejas teruk. - Agensi
Info:
>Krisis kesihatan di Gaza merekodkan kes penyakit berjangkit, masalah pernafasan dan sebanyak 1,116 kes meningitis dilaporkan pada 2025.
>Pada Jun dan Julai, Kementerian Kesihatan mendokumenkan 45 kes lumpuh akut lembik, sekali gus menandakan lonjakan tidak pernah berlaku sebelum ini. Wabak itu diburukkan lagi dengan pencemaran air yang teruk, ketiadaan infrastruktur sanitasi, kekurangan zat makanan yang meluas dan bekalan ubat-ubatan yang terhad.
>Data rasmi menunjukkan 95 termasuk 45 kanak-kanak dijangkiti GBS.
>Pesakit GBS mengalami kehilangan tindak balas refleks dan kesukaran bernafas yang teruk. Ia boleh membawa kepada keadaan lebih kritikal dan berpotensi maut.
>Jumlah kematian akibat kebuluran dan malnutrisi meningkat kepada 188 orang dengan 94 daripadanya ialah kanak-kanak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

