Bas ekspres rempuh dua lori, pemandu parah

Pasukan bomba sedang melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 220.5 Lebuhraya Utara–Selatan arah utara dekat Alor Gajah, awal pagi Isnin.
Pasukan bomba sedang melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 220.5 Lebuhraya Utara–Selatan arah utara dekat Alor Gajah, awal pagi Isnin.
A
A
A

ALOR GAJAH – Seorang pemandu lori parah manakala sembilan penumpang bas terselamat selepas bas ekspres dinaiki mereka merempuh dua buah lori dalam kemalangan di Kilometer 220.5 Lebuhraya Utara–Selatan arah utara di sini, awal pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.00 pagi itu, mangsa lelaki berusia 23 tahun yang memandu lori jenis Hino dipercayai tersepit di bahagian tempat duduk sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.02 pagi sebelum 10 anggota bersama sebuah jentera dan pasukan EMRS bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dengan sembilan penumpang dan pemandunya, sebuah lori treler jenis Scania serta sebuah lori Hino tujuh tan.

"Pemeriksaan mendapati pemandu bas ekspres berusia 64 tahun dan sembilan penumpang terselamat, namun pemandu lori Hino berusia 23 tahun tersepit di tempat duduk," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Tambahnya, pemandu treler 14 tan yang dipandu lelaki berusia 56 tahun turut terselamat walaupun dirempuh bas terbabit ketika ketiga-tiga kenderaan berat itu sedang bergerak di lorong kiri lebuh raya.

Ujarnya, mangsa yang cedera parah dan tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Rembau oleh pasukan EMRS.

"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.58 pagi dan tiada sebarang masalah dilaporkan sepanjang operasi dijalankan," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!