Macam babak filem aksi, wanita diselamatkan daripada dirempuh kereta api

BERLIN - Kereta dipandu seorang wanita berusia 78 tahun telah ditarik keluar dari landasan kereta api hanya beberapa saat sebelum sebuah kereta api meluncur laju melepasi sebuah lintasan di tengah Jerman, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Ahad, memetik polis tempatan.
Kenderaan wanita itu terperangkap di atas landasan pada petang Sabtu di bandar Rothenstein, dalam negeri Thuringia, ketika palang keselamatan lintasan mula diturunkan dan sebuah kereta api sedang menghampiri.
Menurut polis, seorang pemandu trak yang kebetulan lalu di situ berhenti untuk membantu.
Lelaki itu, seorang penduduk tempatan, menggunakan kenderaannya untuk menunda kereta yang terkandas itu keluar dari landasan.
"Beberapa saat kemudian, kereta api itu meluncur melepasi lokasi itu,” menurut polis dalam satu kenyataan, sambil menyifatkan kejadian itu seperti babak dalam "filem aksi.”
Wanita itu tidak cedera tetapi jelas kelihatan sangat terkejut. Pihak berkuasa berkata wanita itu akan menghadapi pertuduhan kerana membahayakan lalu lintas kereta api. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
