Usaha tingkat pengeluaran makanan dalam negara berhasil - PM

KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kesungguhan agensi kerajaan dan kerajaan negeri dalam menangani kebergantungan negara terhadap import makanan, apabila beberapa langkah yang diambil mula menunjukkan hasil memberangsangkan dalam sektor tanaman.
Menurut beliau, dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan mengakui Malaysia berdepan tekanan tinggi apabila nilai import makanan mencecah lebih RM50 bilion, namun beberapa pendekatan yang dilaksanakan mula membuahkan hasil.
"Kita import cili, bawang dan baru-baru ini disebut avokado. Itu menyebabkan kita menumpukan perhatian untuk menghasilkan, dan kita kelihatan berjaya," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPNNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.

Anwar berkata, beliau tidak menyangka Malaysia mampu menghasilkan bawang dalam jumlah tinggi kerana dahulu negara amat bergantung kepada import.
Beliau menegaskan, kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama bersepadu antara pelbagai pihak termasuk penyelidikan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), pelaksanaan oleh Jabatan Pertanian, pengedaran oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta penyelarasan tanah pertanian oleh kerajaan negeri.
“Itu menyebabkan hal-hal yang tidak terjangkau dapat kita hasilkan," katanya.
Anwar turut menekankan kejayaan penanaman avokado di Sabah sebagai contoh kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memanfaatkan kesuburan tanah tempatan bagi memenuhi permintaan pasaran.
"Siapa yang boleh fikir kemungkinan Malaysia, melalui tanah subur Sabah dan kerjasama kerajaan negeri menghasilkan avokado. Satu makanan atau buah yang menarik perhatian dan peningkatan permintaan yang tinggi dan sekarang ini hasilnya berkesan," katanya.
Sehubungan itu, Anwar yakin sekiranya semua pihak memberi tumpuan dalam bidang masing-masing dan terus memperkukuh kerjasama, Malaysia mampu berdikari dalam aspek pengeluaran makanan.
"Ini menunjukkan bahawa kalau kita fokus dalam bidang kita, beri tumpuan, kerajaan negeri dengan segala kekuatannya, kerajaan Persekutuan dengan komitmennya, kita mampu. Ini hebatnya Sabah dan Malaysia, kita mampu lakukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
