16 pasukan berentap edisi ke-103 Piala Emas Raja-Raja

EDISI ke-103 Piala Emas Raja-Raja (PERR) dijangka berlangsung sengit apabila sebanyak 16 pasukan bersedia untuk mengharungi cabaran musim ini yang bakal membuka tirainya Oktober depan.
Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed memaklumkan, daripada jumlah itu, 13 daripadanya merupakan pasukan negeri yang berada di bawah naungan PBMM termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Melaka, ATM serta PDRM.
“Selain itu, tiga lagi pasukan dijemput menyertai saingan kali ini, antaranya Kelab Bola Sepak Bomba, Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok dan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.
"Setakat ini, 14 pasukan sudah mengesahkan penyertaan mereka,” katanya pada majlis perasmian PERR, pengundian dan taklimat musim 2025 pada Sabtu.
Majlis berkenaan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Rustam dan turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi PBMM.
Sebagai pembuka tirai kepada kempen PERR, perlawanan Piala Agong akan menemukan juara musim lalu, Selangor menentang wakil tempat ketiga edisi terdahulu, Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 4 Oktober.
Kejohanan PERR kemudian akan bermula pada 10 hingga 12 Oktober dengan empat kumpulan bersaing di dua lokasi berpusat – Pulau Pinang akan menjadi gelanggang untuk Kumpulan A dan B, manakala Kedah menjadi hos untuk Kumpulan C dan D.
Mengikut undian, Kumpulan A dibarisi Pulau Pinang, Perlis, Melaka dan Pahang. Kumpulan B pula terdiri daripada Perak, ATM, Bomba dan satu lagi pasukan yang bakal diumumkan kemudian.
Sementara itu, Kumpulan C menyaksikan Kedah, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan serta satu lagi pasukan jemputan bakal bersaing. Dalam Kumpulan D pula, Selangor, Terengganu, Kelantan dan PDRM akan berentap bagi merebut tempat ke peringkat kalah mati.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir yang akan dilangsungkan secara timbal balik pada 18 dan 25 Oktober, diikuti separuh akhir pada 1 dan 8 November.
Perlawanan akhir dijadual berlangsung pada 15 November.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
