Reruai PTPTN diserbu pengunjung karnival

Beberapa pengunjung hadir ke reruai PTPTN untuk bertemu sendiri dan mendapatkan maklumat jelas mengenai perkhidmatan yang disediakan.
Beberapa pengunjung hadir ke reruai PTPTN untuk bertemu sendiri dan mendapatkan maklumat jelas mengenai perkhidmatan yang disediakan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kehadiran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 berjaya menarik perhatian ramai, khususnya ibu bapa dan pelajar yang hadir untuk mendapatkan maklumat berkaitan pembiayaan pendidikan serta Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Pengurus Jualan Pejabat PTPTN Negeri Selangor, Norli Abu Bakar berkata, pihaknya menawarkan pelbagai perkhidmatan sepanjang tiga hari karnival berlangsung termasuk promosi pembukaan akaun dan penambahan deposit Simpan SSPN serta khidmat rundingan pinjaman dan bayaran balik.

NORLI
NORLI

Menurutnya, ramai pengunjung datang bertanya tentang pinjaman untuk anak-anak mereka malah ada yang terus buka akaun Simpan SSPN.

“Kami membantu pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN dengan muat naik aplikasi myPTPTN. Aplikasi yang menyediakan perkhidmatan lebih mudah, cepat dan selamat. “Karnival seperti ini memberi peluang kepada orang ramai untuk berurusan dengan PTPTN dalam suasana lebih santai dan terbuka.

“Biasanya apabila sebut PTPTN, ada peminjam yang malu untuk datang ke kaunter tetapi di sini mereka lebih selesa untuk bertanya tentang penstrukturan semula pinjaman,” katanya kepada Sinar Harian.

Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 yang diadakan di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 bermula Jumaat lalu menyediakan pelbagai pengisian menarik untuk pengunjung.

Antara aktiviti yang telah berlangsung selama tiga hari karnival berlangsung ialah rumah hantu, go-kart, Pasar Saloma, pertandingan melibatkan pelajar sekolah dan jualan buku yang menawarkan promosi menarik.

Artikel Berkaitan:

Tambah Norli, karnival itu juga dilihat sebagai platform efektif untuk memberi penerangan langsung kepada masyarakat yang mungkin tidak sempat ke pejabat PTPTN pada hari bekerja.

“Ini merupakan penyertaan kali ketiga PTPTN dalam program sebegini anjuran Karangkraf dan ia berjaya mendekatkan perkhidmatan PTPTN dengan masyarakat,” jelasnya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Nur Syahirah Rashid, 29 menyokong usaha PTPTN yang turun padang dan bertemu pelanggan secara langsung.

NUR SYAHIRAH
NUR SYAHIRAH

Katanya, ia memberi peluang kepada pelanggan untuk bertanya soalan secara terus kepada pegawai PTPTN.

“Pegawai PTPTN sangat mesra dan membantu,” jelasnya.

Bagi Mohd Zulkhairi Kamaruzaman, 43, pula pendekatan yang dilakukan PTPTN itu diharap dapat diadakan dengan lebih kerap.

MOHD ZULKHAIRI
MOHD ZULKHAIRI

“Tidak semua masyarakat atau komuniti berkemampuan, mungkin mereka ada kekangan masa untuk hadir ke pejabatpejabat PTPTN,” ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!