Polis buru penyamun bertopi keledar, parang

KLANG – Polis sedang giat mengesan sekumpulan penjenayah yang terlibat dalam kejadian samun bersenjata menggunakan parang di sebuah kedai snuker di Kapar di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 petang dan melibatkan enam lelaki tempatan.
Menurut beliau, tiga suspek telah memasuki premis berkenaan, manakala tiga lagi menunggu di luar dengan menaiki motosikal.
“Kesemua suspek melarikan wang tunai berjumlah RM823.
“Insiden tersebut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis dan usaha mengesan kesemua suspek sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Katanya, sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-3291 2222 atau balai polis terdekat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular satu rakaman CCTV memaparkan tiga lelaki bertopi keledar dan bersenjatakan parang memasuki premis tersebut ketika beberapa individu sedang bermain snuker.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
