Abdul Hadi kekal Presiden Pas

KOTA BHARU - Dewan Ulama Pas Pusat menyifatkan spekulasi kedudukan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan beralih kepada Mursyidul Am dan digantikan dengan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai tidak berasas.
Ketua Penerangannya, Mohd Asri Mat Daud menegaskan, sehingga kini Abdul Hadi kekal sebagai Presiden Pas dan tiada sebarang petanda atau keputusan rasmi berkaitan perubahan kepimpinan parti itu.
"Tidak ada angin, tidak ada ribut, dakwaan mengatakan Tok Guru (Hadi Awang) akan naik menjadi Mursyidul Am adalah spekulasi semata-mata.
"Presiden kekal sebagai Presiden, Timbalan kekal sebagai Timbalan. Mereka sudah serasi, maka kita anggap sahaja semua ini sekadar spekulasi.
"Gabungan antara Presiden dan Timbalan Presiden dilihat sangat serasi dan selari oleh jentera parti serta semua pihak dalam Pas. Jadi tidak timbul isu penggantian," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Menurut beliau, proses pencalonan oleh kawasan sedang berjalan sempena Muktamar Pas yang dijadualkan berlangsung pada September ini, namun itu adalah hak mutlak setiap kawasan.
Tambahnya, buat masa ini tiada sebarang kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak termasuk negeri, kawasan, pusat mahupun dewan dalam parti yang menyatakan akan berlaku pertukaran jawatan Presiden.
Mohd Asri memberitahu, ahli parti sendiri melihat perkara ini sebagai khabar angin dan tiada keperluan untuk memberi respon berlebihan.
Beliau berkata, Abdul Hadi juga kini berada dalam keadaan sihat dan masih mampu menerajui kepimpinan parti.
Media sebelum ini melaporkan, Pas dilihat belum bersedia untuk membuka laluan kepada Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim menjadi Presiden parti itu.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu hanya mempunyai peluang cerah untuk menjadi Presiden Pas seterusnya jika Abdul Hadi bergerak ke jawatan Mursyidul Am.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

