Punggung warga emas melecur teruk kerana 'batu panas'

BEIJING – Seorang wanita warga emas mengalami melecur tahap ketiga selepas duduk di atas seketul batu di sebuah taman selama kira-kira 10 saat.
Menurut laporan South China Morning Post, kejadian melibatkan wanita berusia 72 tahun yang dikenali sebagai 'Nenek Wang' itu berlaku di Xiangyang, wilayah Hubei pada awal bulan lalu ketika gelombang haba ekstrem melanda China.
“Mangsa sedang berkebun dan mahu berehat sebentar. Sejurus duduk di atas batu tersebut, beliau merasakan bahang luar biasa, namun tidak dapat bangun dengan segera akibat masalah pada kakinya,” jelas laporan berkenaan.
Ketika kejadian, suhu direkodkan mencecah 38 darjah Celsius di wilayah tersebut.
Kecederaan yang dialaminya menyebabkan beliau perlu menjalani pembedahan dan rawatan cantuman kulit akibat kesan luka bakar yang serius.
Susulan insiden tersebut, pakar perubatan memberi amaran tentang bahaya permukaan batu dan objek logam ketika cuaca panas melampau, terutama semasa gelombang haba yang sedang meningkat di banyak wilayah di China.
'Nenek Wang' kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil, namun kesan jangka panjang terhadap kecederaannya masih belum dapat dipastikan.
Insiden itu turut menarik perhatian warganet di media sosial, dengan ramai berkongsi pengalaman hampir serupa yang membabitkan objek panas semasa musim panas ekstrem. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

