Al-Nassr sambar Joao Felix daripada Chelsea

JOAO Felix bakal bergandingan semula bersama Cristiano Ronaldo di Liga Pro Saudi selepas Al-Nassr mencapai persetujuan untuk menandatangani penyerang Portugal itu daripada Chelsea dengan nilai perpindahan mencecah 43.7 juta pound sterling (sekitar RM256 juta).
Felix, 25, telah diberikan lampu hijau untuk terbang ke Riyadh bagi menjalani ujian perubatan sebelum memuktamadkan perpindahan ke kelab gergasi Asia Barat itu.
Al-Nassr dilaporkan berjaya mengetepikan persaingan daripada kelab lamanya Benfica yang turut berminat membawa pulang bekas pemain mereka itu.
Perpindahan ini sekali gus membolehkan Chelsea meraih semula sebahagian besar daripada pelaburan asal mereka, selepas membayar 45 juta pound sterling (kira-kira RM263 juta) kepada Atletico Madrid untuk mendapatkan Felix pada musim panas lalu.
Ketika itu, Felix turut dipinjamkan ke AC Milan selama enam bulan dengan bayaran 5 juta pound sterling (RM29 juta) pada Januari lalu.
Pelepasan Felix merupakan sebahagian daripada pelan jangka pendek Chelsea untuk menstabilkan kedudukan kewangan kelab, di samping memenuhi kehendak Peraturan Kewangan UEFA.
Sehingga kini, The Blues telah menjual beberapa pemain utama termasuk penjaga gol Djordje Petrovic, Kepa Arrizabalaga dan pemain sayap Noni Madueke, sekali gus mengumpul lebih 130 juta pound sterling (hampir RM760 juta) hasil perpindahan musim panas ini.
Antara pemain lain yang sedang berada dalam senarai untuk dijual termasuk Raheem Sterling, Ben Chilwell, Renato Veiga dan Armando Broja dalam usaha kelab mencatat imbangan kewangan positif menjelang penutup jendela perpindahan.
Namun begitu, Chelsea tetap agresif di pasaran, setelah membelanjakan lebih 212 juta pound sterling (sekitar RM1.24 bilion) bagi membawa masuk beberapa bakat baharu termasuk penyerang Liam Delap, pemain sayap Jamie Gittens dan penyerang Joao Pedro.
Kelab itu juga dilaporkan sedang memantau dua sasaran utama, pemain tengah Xavi Simons dan pertahanan muda Jorrel Hato.
UEFA sebelum ini mengenakan denda 27 juta pound sterling (sekitar RM157 juta) terhadap Chelsea kerana melanggar garis panduan kewangan, serta memberi amaran tegas bahawa kelab itu perlu menutup musim perpindahan dengan imbangan positif.
Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Chelsea dihalang daripada mendaftarkan pemain baharu untuk saingan Liga Juara-Juara musim ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

