Lagi dua tentera Israel terbunuh di Selatan Gaza

BAITULMAQDIS – Dua anggota tentera Israel terbunuh dalam pertempuran di selatan Genting Gaza pada Ahad, menurut kenyataan tentera, sehari selepas kematian seorang lagi tentera disahkan akibat cedera dalam operasi minggu lalu.
“Kita kehilangan tiga anggota muda dan antara yang terbaik, yang mengorbankan nyawa demi keselamatan negara dan pembebasan semua tebusan,” kata Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz menerusi hantaran di platform X.
Kedua-dua tentera yang maut, masing-masing berusia 20 dan 22 tahun berkhidmat dalam Batalion ke-51, Briged Infantri Golani.
Menurut sumber ketenteraan, mereka terbunuh apabila kenderaan perisai yang dinaiki meletup di bandar Khan Yunis.
Wartawan tentera dari beberapa media Israel melaporkan letupan berpunca daripada alat letupan buatan sendiri (IED) yang diletupkan oleh pejuang Hamas yang muncul dari terowong.
Siasatan berhubung insiden itu sedang dijalankan.
Sejak serangan darat bermula pada 27 Oktober 2023, seramai 462 anggota tentera Israel dilaporkan terbunuh di Gaza.
Kempen ketenteraan Israel dilancarkan susulan serangan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023 yang meragut 1,219 nyawa, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi.
Sehingga kini, seramai 59,733 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan Israel, majoritinya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah yang ditadbir Hamas itu. – AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
