Pesawat terhempas di Rusia, tiada mangsa dipercayai selamat

Gambar menunjukkan lokasi dipercayai tempat nahas pesawat penumpang Angara Airlines jenis An-24 berhampiran Tynda, Rusia pada Khamis. Foto Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Rusia
Gambar menunjukkan lokasi dipercayai tempat nahas pesawat penumpang Angara Airlines jenis An-24 berhampiran Tynda, Rusia pada Khamis. Foto Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Rusia
A
A
A

BLAGOVESHCHENSK - Pesawat AN-24 yang terhempas di Wilayah Amur, Rusia dilaporkan terbakar semasa dalam fasa penurunan dan tiada mangsa terselamat dikesan semasa tinjauan udara di lokasi kejadian, menurut Pusat Pertahanan Awam dan Keselamatan Kebakaran wilayah itu kepada Agensi Berita Rusia (TASS).

"Menurut pengarah Lapangan Terbang Tynda, pesawat itu terbakar sejurus impak dan kru helikopter Mi-8 yang menjalankan tinjauan udara melaporkan tiada tanda mangsa terselamat,” menurut kenyataan itu.

Pesawat berkenaan membawa 46 orang, termasuk dua kanak-kanak dan enam kru.

Sumber dalam perkhidmatan kecemasan memberitahu TASS bahawa kesilapan kru sedang dipertimbangkan sebagai kemungkinan besar punca nahas.

"Sebagai satu senario yang berpotensi, kesilapan kru sedang dipertimbangkan, dengan pesawat dipercayai melanggar lereng bukit semasa mendarat dalam keadaan penglihatan yang terhad. Kemungkinan lain juga akan dipertimbangkan,” kata sumber itu.

Pesawat milik Angara Airlines yang berpangkalan di Irkutsk itu dalam penerbangan dari Khabarovsk ke Tynda melalui Blagoveshchensk apabila dilaporkan terputus hubungan kira-kira 1 tengah hari Khamis.

Ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Tynda, pesawat itu melakukan cubaan mendarat kali kedua sebelum hubungan dengannya terputus. - Bernama-TASS

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!