PM arah bantu segera keluarga asnaf di Port Dickson

Anwar bersama Azizah ketika menziarah Mohamad Ali di Kampung Baru Sirusa, Port Dickson pada 20 Julai 2025. - Foto: Facebook Anwar Ibrahim
Anwar bersama Azizah ketika menziarah Mohamad Ali di Kampung Baru Sirusa, Port Dickson pada 20 Julai 2025. - Foto: Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan bantuan segera disalurkan kepada sebuah keluarga asnaf di Kampung Baru Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan yang berdepan kesempitan hidup selepas ketua keluarganya diserang strok.

Anwar yang menziarahi keluarga itu bersama isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, mereka kini bergantung sepenuhnya kepada Faridah Abbas yang menjadi ketua keluarga selepas suaminya Mohamad Ali Abdul Malek terlantar sakit sejak tahun lepas.

"Saya dan Azizah amat terkesan melihat ujian berat yang menimpa keluarga asnaf ini. Saya telah mengarahkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk menyediakan kemudahan yang diperlukan saudari Faridah dan keluarganya bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Beliau berkata antara bantuan yang bakal disalurkan termasuklah penyediaan kiosk perniagaan bagi membolehkan Faridah menjana pendapatan dengan menjual kuih-muih dan pisang goreng selain kawasan hadapan rumah keluarga berkenaan juga akan diratakan bagi menjamin keselesaan mereka sekeluarga.

"Semoga ihsan dan bantuan ini meringankan penderitaan hidup saudari Faridah untuk menguruskan suami yang terlantar sakit serta anak-anaknya. Kami berdoa semoga ALLAH meringankan ujian buat mereka sekeluarga, insya-ALAH,” katanya.

Perdana Menteri berada di Negeri Sembilan bagi menyertai Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan Madani bersempena dengan permukiman anggota pentadbiran dan ahli Parlimen.

Program itu adalah sebagai usaha membina jaringan ukhuwah antara pemimpin dengan rakyat dalam suasana santai, inklusif dan penuh nilai kebersamaan. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!