Lelaki cuba samun, lepaskan tembakan diburu polis

Polis sedang mengesan seorang lelaki yang melepaskan tembakan ketika cuba menyamun sebuah premis di Taman Megah Ria, Seri Alam, pada petang Sabtu. - Foto tular
Polis sedang mengesan seorang lelaki yang melepaskan tembakan ketika cuba menyamun sebuah premis di Taman Megah Ria, Seri Alam, pada petang Sabtu. - Foto tular
A
A
A

PASIR GUDANG – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang melepaskan tembakan ketika cuba menyamun sebuah premis di Taman Megah Ria, Seri Alam, pada petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.10 petang itu, suspek bertindak masuk ke dalam premis dan mengacukan objek menyerupai pistol ke arah mangsa sambil mengarahkannya menyerahkan wang tunai.

“Suspek kemudiannya melepaskan satu das tembakan di luar premis sebelum melarikan diri menaiki sebuah motosikal.

“Tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Seri Alam di talian 07-3871422 atau Hotline 07-38614222 bagi membantu siasatan.

Sebelum itu, rakaman insiden berdurasi 31 saat tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!