Kerohanian tunjang pemulihan penagih – Pengasih

Amizar (duduk, dua dari kiri) dan Abd Halim (duduk dua dari kanan) ketika Majlis Penutupan Bengkel Evidence - Base Treatment And Rehabilitation Modelities For Substance Use Disorder di Kompleks Pengasih Cinta Manis pada 17 Julai lalu.
Amizar (duduk, dua dari kiri) dan Abd Halim (duduk dua dari kanan) ketika Majlis Penutupan Bengkel Evidence - Base Treatment And Rehabilitation Modelities For Substance Use Disorder di Kompleks Pengasih Cinta Manis pada 17 Julai lalu.
A
A
A

BENTONG – Elemen kerohanian merupakan tunjang utama dalam proses pemulihan penagih, khususnya dalam kalangan individu Muslim.

Ketua Penasihat Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin berkata, pendekatan rawatan yang berkesan perlu disandarkan kepada model bio-psiko-sosial yang ditunjangi oleh pengisian spiritual Islam selaras dengan latar budaya dan kepercayaan pesakit.

“Kerohanian merupakan komponen penting dalam proses kepulihan. Bagi pesakit Muslim, pendekatan spiritual Islam wajar diperkasakan sebagai sebahagian daripada rawatan berasaskan bukti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel Antarabangsa bertemakan “Evidence-Based Treatment and Rehabilitation Modalities for Substance Use Disorder (SUD)” anjuran Pengasih Malaysia yang berlangsung di sini pada 16 dan 17 Julai lalu.

Majlis penutup disempurnakan oleh Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.

Program yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Kaunselor Ketagihan Dadah Malaysia (MADAC) dan Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA International) itu menghimpunkan pakar tempatan dan antarabangsa bagi membincangkan pendekatan rawatan dan pemulihan berasaskan pembuktian, dengan penekanan kepada nilai kerohanian.

Abdul Halim yang juga Penaung Pengasih Asia berkata, Pengasih Asia akan terus diperkasakan sebagai Pusat Kecemerlangan Rawatan dan Pemulihan peringkat serantau dengan sokongan pelbagai pihak, termasuk badan profesional seperti MADAC dan PERKAMA.

Katanya, kerjasama bersepadu itu penting dalam membina ekosistem pemulihan dadah yang lebih mampan dan berimpak tinggi.

Dalam bengkel tersebut, Pengasih turut melantik empat penceramah antarabangsa sebagai Ahli Kehormat Antarabangsa bagi memperluaskan jaringan global dan meneroka kandungan baharu dalam modul rawatan dan pemulihan.

Artikel Berkaitan:

Antara tokoh jemputan ialah Presiden Pengasih Malaysia, Hafizi Harun, Dr Halim Naeem, Grysell Fabaro, Yusof Jones dari Amerika Syarikat dan Dania Alhindawi dari United Kingdom.

Kesemua mereka berkongsi kepakaran dalam bidang rawatan kecelaruan penggunaan bahan (SUD) termasuk peranan teknologi, trauma, sistem pemulihan di negara asal serta pendekatan rawatan berasaskan pembuktian.

Program itu disertai oleh wakil sembilan cawangan Pengasih, Exco MADAC, Exco PERKAMA International serta pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang dengan sesi diskusi dan soal jawab yang interaktif.

Sebagai inisiatif lanjutan, Pengasih turut membuka ruang kerjasama dalam penyelidikan bersama, pembangunan modul latihan, dan perkongsian kepakaran antara pengamal serta akademik antarabangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!