Pearly-Thinaah, Yew Sin-Ee Yi mara separuh akhir Terbuka Jepun

HARAPAN Malaysia dalam saingan beregu Kejohanan Badminton Terbuka Jepun Super 750 kekal menyala apabila dua wakil negara, Pearly Tan-M. Thinaah dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, berjaya menempah slot ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan meyakinkan dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, pada Jumaat.
Pasangan beregu wanita negara, Pearly-Thinaah, menampilkan aksi bertenaga apabila menyingkirkan gandingan Korea Selatan, Jeong Na-eun-Lee Yeon-woo, 21-15, 21-19 dalam pertarungan sengit yang memakan masa 55 minit.
Kemenangan itu hadir tepat pada masanya selepas mereka memperbaharui kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sekali gus membuktikan kredibiliti mereka selaku antara gandingan terbaik negara sekali gus melebar kemenangan 3-0 ke atas pasangan Korea berkenaan.
Di peringkat separuh akhir, Pearly-Thinaah bakal berdepan cabaran sengit daripada wakil tuan rumah, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Sementara itu, dalam acara beregu lelaki, Yew Sin- Ee Yi turut mempamerkan semangat juang luar biasa apabila mengejutkan pilihan kelima kejohanan dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dengan kemenangan 25-23, 21-19 dalam tempoh 40 minit.

Gandingan negara itu dijadualkan bertemu pasangan Korea Selatan, Kim Won-ho-Seo Seung-jae, bagi perebutan tempat ke pentas final.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
