Karnival KPDN, KBBM terbang ke Sabah

SHAH ALAM – Kompleks Sukan Ranau bakal menjadi tumpuan utama penduduk Sabah apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganjurkan Karnival KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Zon Sabah selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Julai ini.
Program berskala besar itu merupakan kesinambungan kepada kejayaan edisi Zon Selatan yang telah diadakan di Puteri Harbour, Johor dan dijangka menarik ribuan pengunjung dari seluruh pelusuk negeri.
Karnival tersebut bukan sahaja bertujuan menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan terutamanya berhubung kos sara hidup, malah berperanan memperkasakan ekonomi tempatan serta menggalakkan pembelian produk keluaran usahawan tempatan.
Antara pengisian utama yang menanti pengunjung termasuk Jualan RAHMAH MADANI yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran, serta Menu RAHMAH yang disediakan pada harga tidak melebihi RM5.
“Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) pula bakal menonjolkan pelbagai produk tempatan, khususnya daripada pengusaha Sabah. Beberapa reruai agensi kerajaan turut dibuka bagi memberikan informasi mengenai fungsi dan perkhidmatan kementerian kepada masyarakat.
“Dalam usaha menangani isu pengangguran, Karnival Kerjaya MyFutureJobs dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan daripada sektor awam dan swasta untuk pencari kerja dari pelbagai latar belakang dan kelayakan,”katanya, di sini.
Program itu turut dimeriahkan dengan sesi Pocket Talk, forum interaktif bersama KPDN dan advokasi pengguna menerusi program di bawah Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), yang menyasarkan peningkatan kesedaran dan pendidikan pengguna.
Persembahan artis dan cabutan bertuah
Sebagai tarikan tambahan, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan artis tanah air di pentas utama, menjadikan karnival ini sebagai acara mesra keluarga yang menyatukan elemen hiburan, pendidikan dan kerjaya.
Menariknya, karnival ini turut menawarkan cabutan bertuah eksklusif dengan hadiah utama berupa sebuah Perodua Alza 1.5L (H), Proton S70 1.5T Premium dan motosikal Modenas Karisma EX 125. Hadiah tersebut ditaja oleh rakan strategik iaitu Perodua, Proton dan Modenas.
Karnival ini adalah percuma dan pengunjung digalakkan hadir bersama keluarga bagi memeriahkan acara sambil menyokong inisiatif kerajaan serta memperkukuh ekonomi domestik.
Karnival akan bermula dari jam 9 pagi hingga 10 malam pada hari Jumaat dan Sabtu, manakala pada hari Ahad ia berlangsung sehingga jam 6.00 petang. Kemudahan parkir yang luas turut disediakan kepada orang ramai.
Untuk maklumat lanjut dan jadual penuh aktiviti, orang ramai boleh mengikuti saluran rasmi media sosial KPDN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

