Kereta rempuh kenderaan artis bukan bawah pengaruh alkohol: Polis

Keadaan Toyota Hilux yang dinaiki artis berkumpulan itu remuk teruk dalam kejadian pagi tadi. - Foto Instagram penyanyi kumpulan berkenaan
Keadaan Toyota Hilux yang dinaiki artis berkumpulan itu remuk teruk dalam kejadian pagi tadi. - Foto Instagram penyanyi kumpulan berkenaan
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menafikan dakwaan pemandu kereta Toyota Vios yang merempuh pacuan empat roda dinaiki artis berkumpulan berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian tersebut berlaku awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong bagaimanapun memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit turut mempunyai lesen memandu sah.

"Siasatan awal mendapati lelaki dari Juru itu disyaki tidak mabuk ketika kejadian dan dakwaan mengatakan dia berada di bawah pengaruh alkohol tidak benar, bagaimanapun siasatan masih dijalankan terhadap pemandu kereta itu," katanya ketika dihubungi tadi.

Soffian berkata, dalam kejadian jam 1.45 pagi tadi, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki kumpulan penyanyi itu remuk teruk selepas dirempuh dari arah bertentangan.

Beliau berkata, kejadian berlaku di Jalan Tetembok ketika kenderaan kumpulan penyanyi itu dari Jambatan Pulau Pinang menuju ke Masjid Negeri.

"Kejadian berlaku dipercayai berpunca daripada Toyota Vios yang memasuki laluan bertentangan lalu merempuh Toyota Hilux tersebut.

"Akibat daripada rempuhan itu, kereta pacuan empat roda itu remuk teruk, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan pemandu Toyota Vios disyaki berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian susulan salah seorang kumpulan penyanyi itu terbau alkohol pada lelaki tersebut.

Difahamkan, artis berkumpulan ini dalam rangka promosi kumpulan berkenaan di enam lokasi bermula di Perlis pada 13 Mac lalu hingga akhir bulan ini.