Kok Seong pernah digelar ustaz

Teo Kok Seong
Teo Kok Seong
A
A
A

DILAHIRKAN dan dibesarkan dalam kelompok masyarakat Melayu di Kelantan membuatkan Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong tidak kekok untuk menjalani kehidupan sama seperti masyarakat Melayu di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Kehidupan Melayu Kok Seong yang kini merupakan Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bermula sebaik kelahirannya disambut orang Melayu iaitu bidan kampung pada 22 Mei 1953 di rumahnya di Wakaf Baru.

Mengenang kembali kehidupannya dari kecil, anak sulung daripada tiga beradik itu didedahkan dengan kehidupan Melayu bahkan majoriti kawan-kawannya juga terdiri daripada masyarakat Melayu.

Malah ketika penulis menemubualnya baru-baru ini, sedikit pun tiada perkataan Inggeris keluar daripada mulutnya yang fasih berbahasa Melayu.

Sepanjang hampir dua jam pertemuan itu, Kok Seong sempat bergurau bahawa dirinya ‘lebih Melayu daripada Melayu’.

“Kelantan rata-ratanya 96 peratus penduduk ialah Melayu. Dengan sifat penduduk sedemikian, majoritinya Melayu, kelompok bukan Melayu di sana banyak bergaul dengan orang Melayu. Di Kelantan itu bukan luar biasa jika fasih berbahasa Melayu Kelantan dan kami memang mengamalkan budaya Melayu Kelantan.

“Bahkan dalam kalangan Cina peranakan, Tahun Baru Cina mereka menjamu siapa sahaja yang ziarah, mereka hidangkan makanan Melayu Kelantan seperti nasi kerabu, laksam dan sebagainya. Mereka tidak segan dengan identiti itu. Identiti kami adalah Melayu dan sedikit Siam.

“Cina-Cina di bandar kadang-kadang berasa pelik dengan Cina Peranakan ini. Boleh dikatakan kami semua Melayu cuma nama dan agama sahaja berbeza,” katanya kepada Sinar Ahad baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Kok Seong (dua dari kanan) bersama rakan-rakannya semasa di Tingkatan 5, Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu pada tahun 1970.
Kok Seong (dua dari kanan) bersama rakan-rakannya semasa di Tingkatan 5, Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu pada tahun 1970.

Mengimbau lanjut kehidupannya, Kok Seong yang merupakan bapa kepada dua orang cahaya mata memberitahu, disebabkan dirinya ‘lebih Melayu daripada Melayu’ itu membuatkan dirinya digelar sebagai seorang ustaz.

Katanya, gelaran itu diberikan kepadanya 15 tahun dahulu oleh penghantar surat khabar berbangsa Cina dan India.

Maghrib

Puncanya, penghantar surat khabar itu kecewa kerana pelanggan mereka yang merupakan orang Melayu tidak mahu membuka pintu dan pagar ketika mereka datang untuk mengutip bayaran pada waktu Maghrib.

“Kira-kira 10 hingga 15 tahun dahulu saya digelar ustaz. Di kawasan perumahan, yang hantar surat khabar adalah orang India dan Cina. Bila hujung bulan atau awal bulan mereka datang nak kutip duit surat khabar. Mereka datang ke rumah pelanggan rumah orang Melayu, mereka datang pada waktu Maghrib.

“Mereka buat aduan kepada saya, setiap bulan mereka menghadapi masalah sama. Orang Melayu tak buka pintu dan pagar. Saya cakap itu waktu Maghrib. Itu satu tuntutan agama mereka. Mereka perlu berada dalam rumah untuk tutup pintu dan tingkap. Saya memberi penerangan konsep Maghrib itu.

“Mereka tanya saya, macam mana kamu tahu, awak ustaz ke? Saya cakap, saya tahu sikit-sikit. Sebab itu lekat gelaran ustaz sehingga hari ini,” katanya tersenyum mengenangkan peristiwa berkenaan.

Malah menurut Kok Seong, beliau juga digelar sebagai Haji - gelaran yang diberikan kepada orang Islam selepas menunaikan haji di Mekah kerana beliau mengetahui budaya Melayu dan hal-hal berkaitan agama Islam.

“Saya banyak diundang oleh pertubuhan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim). Mereka meminta saya membuat pembentangan tentang-tentang hal agama Islam.

“Saya juga sering diundang memberi ceramah dalam seminar yang dianjurkan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma). Saya satu-satunya individu bukan muslim. Sebab itu mereka memberi gelaran haji,” katanya.

Kok Seong semasa melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Universiti of California, Berkeley pada tahun 1993.
Kok Seong semasa melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Universiti of California, Berkeley pada tahun 1993.

Biarpun kedua-dua gelaran itu berkait rapat dengan Islam, namun Kok Seong tidak terasa hati dengan gelaran yang diberikan sambil menganggap ia sebagai satu bentuk penghormatan tertinggi.

“Mereka beri gelaran kehormat itu. Mereka bergurau senda sahaja. Saya tak ambil hati mereka panggil haji, ustaz,” katanya.

Mula bertugas sebagai tutor di UKM pada 1982 dan kemudiannya ditawarkan jawatan pensyarah, Prof Madya dan kini bergelar Profesor, ketokohannya dalam memartabatkan dan memperjuangkan bahasa Melayu tidak perlu disangkal.

Perjuangannya itu melayakkan beliau merangkul anugerah Tokoh Pemartabat Bahasa Melayu Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2012 dan Ikon Perjuang Bahasa (Akademi) 2015.

Menjelaskan minatnya terhadap bahasa Melayu, Kok Seong mendedahkan rasa cintanya terhadap bahasa Melayu berputik sejak kecil kerana dibesarkan di negeri yang majoritinya orang Melayu.

“Cinta saya dengan bahasa Melayu. Ini kerana bahasa Melayu dan kehidupan Melayu itu sebahagian daripada hidup saya. Saya Cina peranakan tetapi kehidupan Melayu ini sebahagian dalam hidup saya.

“Saya boleh terus memilih bahasa Inggeris sebab saya guru Bahasa Inggeris tetapi saya mahu memilih bahasa Melayu. Selain orang Melayu, perlu ada orang bukan Melayu yang menekuni pengajian Melayu,” katanya.< /p>

Kok Seong bersama isteri, Datin Chang Wai Leng ketika bercuti di pantai Melbourne, Australia pada tahun 2008.
Kok Seong bersama isteri, Datin Chang Wai Leng ketika bercuti di pantai Melbourne, Australia pada tahun 2008.

Walaupun berjaya dalam bidang diceburi, Kok Seong yang masih segak dan mempunyai bentuk badan tinggi lampai itu meluahkan rasa sedih dengan penerimaan negatif kaumnya sendiri yang menganggap dirinya sebagai seorang pengkhianat.

Mengakui dirinya tidak disenangi oleh segelintir orang Cina, Kok Seong menjelaskan sebarang hujah yang dikeluarkan adalah berfakta dan mewakili rakyat Malaysia.

“Saya akui, saya tidak disenangi oleh bangsa saya. Itu satu fakta. Ini dapat dilihat pada komen-komen di media sosial. Kalau ada laporan atau siaran akhbar tentang kenyataan saya, di ruangan komen kita dapat lihat komen poitif datang daripada orang Melayu dan yang negatif datang dari kaum saya sendiri.

“Mereka melihat saya sebagai pengkhianat. Sebab saya banyak buka pekong di dada. Tetapi saya bertindak sebagai seorang rakyat Malaysia terutamanya tindakan saya sebagai orang Malaysia, bukan Cina dan bukan Melayu,” katanya.

INFO

Nama: Prof Datuk Dr Teo Kok Seong

Tarikh lahir: 22 Mei 1953

Asal: Kota Bharu, Kelantan

Adik-beradik: Anak pertama daripada tiga beradik

Isteri: Datin Chang Wai Leng

Pekerjaan: Pesara (guru)

Anak: Teo Swi-han (doktor) dan Teo Ju-li (peguam)

Pendidikan:

- Sultan Primary School II (1960 – 1965)

- Sultan Ismail College (1966 – 1970) *kini Maktab Sultan Ismail

- Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur (1973 – 1974)

- Sarjana Muda Sastera (Pengajian Bahasa dan Linguistik), UM (1979-1982) Sarjana Persuratan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1983- 1986)

- Doktor Falsafah Universiti of California, Berkeley (1989-1993)

Pekerjaan:

Guru Bahasa Inggeris dan Sejarah SMK Sungai Ruan, Raub, Pahang (1975-1979)

- Tutor sebelum menjadi pensyarah dan Prof Madya Kini sebagai Profesor Linguistik di UKM (sejak 1982)

- Felo Utama Institut Kajian Etnik, UKM

Anugerah:

- Tokoh Pemartabat Bahasa Melayu Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2012

- Ikon Perjuang Bahasa (Akademi) 2015

- Anugerah Datuk Paduka Setia Kelantan yang membawa gelaran Datuk pada 2012