PRK Cameron Highlands: 'Banyak bendera, poster membazir'

Seng Yee ketika ditemui di.kebun bunganya, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Seng Yee ketika ditemui di.kebun bunganya, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Calon Bebas, Wong Seng Yee mempunyai pendekatan berbeza dalam meraih sokongan pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Menurutnya, pemasangan poster dan bendera yang banyak suatu pembaziran.

"Bagi saya itu kegiatan yang membazirkan duit rakyat dan penyokong.

"Jadi untuk kempen, saya akan letakkan bendera lambang cangkul hanya satu tempat saja setiap kampung.

"Poster besar saya akan pasang juga dengan mesej yang saya cuba sampaikan supaya pengundi tahu misi saya selain saya akan edarkan manifesto," katanya kepada Sinar Harian dalam temubual bersama calon di Habu, hari ini.

Meskipun tiada jentera seperti lawannya, anak tempatan ini tetap akan cuba berkempen di seluruh kawasan Cameron Highlands termasuk Dun Jelai.

Katanya, beliau juga akan mendekati pengundi Orang Asli bagi menyampaikan mesej perjuangannya.

Dalam perkembangan lain, Seng Yee berkata, beliau akan meneruskan kempen dengan imej bertopi mengkuang dan but kuning yang ditampilkan ketika hari penamaan calon.

Artikel Berkaitan:

"Inilah pakaian saya sewaktu bekerja di ladang. Ia sebagai satu simbolik untuk petani dan saya akan kekalkan sepanjang kempen.

"Saya juga tidak kisah jika nama saya tidak diingati. Asalkan mereka kenal imej saya dan mesej yang dibawa sampai kepada pengundi," katanya.