Debaran menanti 'pengumuman besar' PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat satu 'pengumuman besar' sebagai bentuk penghargaan luar biasa kepada rakyat Malaysia.
Tanpa perincian lanjut, kenyataan itu dibuat menerusi hantaran ringkas di Facebook beliau pada Isnin, namun cukup untuk mencetuskan pelbagai spekulasi dan harapan dalam kalangan rakyat.
Tanda pagar #MalaysiaMadani dan #BersamaMalaysiaku yang disertakan dalam hantaran itu memberi gambaran bahawa pengumuman tersebut bersifat menyeluruh dan mungkin berkaitan dengan dasar kerajaan atau insentif besar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen pula mendedahkan pengumuman itu kemungkinan ada kaitan dengan pertemuan tertutup antara Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) pada hari yang sama.
Beliau sendiri telah menyatakan pandangannya dalam pertemuan tersebut dan meminta rakyat menunggu pengumuman lanjut dalam beberapa hari akan datang.
Difahamkan, pertemuan itu turut membincangkan persediaan PH menghadapi sidang Parlimen yang akan datang serta kesinambungan sesi libat urus antara kerajaan dan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada Jumaat lalu.
Hal itu memberi petunjuk bahawa pengumuman tersebut berkemungkinan mempunyai implikasi politik dan dasar yang lebih besar.
Namun di sebalik semua bayangan dan petunjuk, apa agaknya yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri? Adakah ia berkisar kepada bantuan kewangan, pembaharuan ekonomi, pelarasan subsidi, atau mungkin reformasi politik yang lebih berani?
Antara harapan paling besar rakyat ketika ini ialah agar kerajaan menangguhkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 kerana dalam suasana kos sara hidup yang mencengkam, rakyat berharap kerajaan tidak tergesa-gesa menaikkan harga bahan api kerana kesannya akan menjalar kepada harga barang dan pengangkutan harian.
Harapan kedua pula tertumpu kepada bantuan kewangan tambahan, sama ada dalam bentuk tunai, subsidi bersasar atau skim bantuan baharu kepada golongan B40 dan M40 yang masih bergelut dengan beban kewangan pasca pandemik.
Ketiga, rakyat mahu kerajaan memberikan tumpuan kepada kestabilan harga barang dan bekalan makanan asas. Kenaikan mendadak harga barangan runcit seperti beras, minyak dan ayam perlu ditangani dengan pendekatan dasar yang konsisten dan tegas.
Harapan keempat ialah agar tiada cukai baharu diperkenalkan dalam masa terdekat kerana dalam keadaan ekonomi rakyat yang masih rapuh, sebarang bentuk cukai tambahan.
Akhir sekali, jika pengumunan besar itu menyentuh isu perumahan mampu milik, khususnya dalam kalangan golongan muda dan pasangan baharu berkahwin sudah pasti ia memberi kelegaan dan kegembiraan.
Ramai menantikan pendekatan baharu kerajaan dalam meningkatkan akses terhadap pemilikan rumah dengan harga yang lebih munasabah.
Apa pun kandungannya, pengumuman itu sudah tentu memberi kesan kepada harapan tinggi rakyat yang kini menunggu dengan penuh debar dan persoalan, apa agaknya yang bakal diumumkan?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
