Kes bunuh penuntut universiti: Dua suspek tiba di mahkamah dengan kawalan ketat polis

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Dua individu yang disiasat dalam kes pembunuhan penuntut universiti di Cyberjaya pada 24 Jun lalu tiba di Mahkamah Sepang pada Khamis.
Suspek lelaki yang memakai baju T berwarna putih sementara wanita berbaju hitam dibawa dengan menaiki kereta pelbagai guna, tiba pada jam 8.55 pagi.
Pihak polis turut mengawal keadaan dengan kawalan ketat secara maksimum, semasa kedua-dua suspek masuk ke mahkamah dalam keadaan bergari, bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.
Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pertuduhan akan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Seorang penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, Maniishapriet Kaur, 20, yang berasal dari Sarawak, ditemukan maut di sebuah unit kondominium, di Cyberjaya pada jam 10 pagi, 24 Jun lalu.
Susulan itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan empat individu termasuk suspek utama iaitu teman lelaki kepada rakan serumah mangsa, polis berjaya menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh 48 jam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
