Bomoh palsu paksa wanita minum air tandas hingga mati

LUCKNOW - Seorang wanita menemui ajal selepas terpedaya dengan ritual bomoh.
Kejadian itu berlaku di perkampungan Pahalwan Pur di daerah Azamgarh di negeri Uttar Pradesh, India pada akhir minggu lalu.
Mangsa, Anuradha, 35, dan telah berkahwin selama 10 tahun, namun tidak mempunyai cahaya mata.
Menurut polis, dia bertemu dengan bomoh dikenali sebagai Chandu yang didakwa telah membantu ramai wanita untuk hamil setelah melakukan rawatan tradisional dengannya.
"Dukun tersebut mendakwa mangsa dirasuk roh jahat. Dia bersama pembantunya melakukan ritual termasuk menarik rambut, menekan mulut dan lehernya serta memaksanya meminum air kotor dari longkang dan tandas," ujar jurucakap pihak berkuasa.
Menurutnya lagi, ibu mangsa cuba menghalang upacara ganas tersebut sebelum keadaan mangsa menjadi teruk tidak lama selepas itu dan dikejarkan ke hospital di mana dia diisytiharkan meninggal dunia.
"Bapa Anuradha mendakwa bomoh itu telah mengambil bayaran pendahuluan sebanyak 22,000 rupee (RM1,090)," jelasnya lagi.
Chandu yang pada mulanya melarikan diri bertindak menyerah diri manakala rakan subahatnya masih diburu polis.
Penduduk setempat mendakwa bomoh turut membina tempat ritual palsu dilengkapi dengan kuil kecil. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

