PPZ-MAIWP terima zakat perniagaan RM53.2 juta
Kutipan zakat perniagaan bagi Januari hingga Jun tahun ini berjumlah RM76.3 juta meningkat sebanyak 1.6 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 23 syarikat dan entiti korporat telah menunaikan tanggungjawab zakat perniagaan berjumlah kira-kira RM53.2 juta kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sumbangan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu golongan asnaf khususnya di Wilayah Persekutuan yang kini berdepan dengan peningkatan keperluan hidup.
“Ini membuktikan hubungan strategik antara sektor korporat dan PPZ-MAIWP semakin kukuh demi manfaat ummah,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar sempena Majlis Zakat Korporat 2025 di sini pada Selasa.
Beliau memaklumkan bahawa kutipan zakat perniagaan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berjumlah RM76.3 juta, meningkat sebanyak 1.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Namun dalam masa sama, keperluan asnaf juga semakin bertambah dan saya menyeru agar individu serta syarikat yang masih belum menunaikan zakat supaya segera melaksanakannya agar tiada golongan memerlukan yang tercicir daripada menerima bantuan,” tambah beliau.
Mohd Na’im menjelaskan bahawa zakat perniagaan menyumbang 16 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan zakat pada tahun lalu, menjadikannya penyumbang kedua tertinggi selepas zakat pendapatan.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak syarikat dan individu agar tidak hanya menunaikan zakat tetapi juga menyertai amalan berwakaf.
Menurutnya, PPZ-MAIWP diberi amanah untuk mengutip wakaf tunai di Wilayah Persekutuan dan setakat ini sebanyak 35 projek wakaf khas sedang memerlukan dana sebanyak RM387 juta.
Beliau turut menarik perhatian bahawa individu atau syarikat yang melaksanakan wakaf layak mendapat potongan cukai pendapatan sebanyak 10 peratus sebagai galakan untuk menyumbang.
“Semoga zakat dan wakaf yang ditunaikan akan menjadi sebab kepada keberkatan dan limpahan rezeki dalam perniagaan serta kehidupan kita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

