Bekalan bahan api di Selangor mencukupi

Muhamad Zikril (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan harga terkini bahan api di sebuah pam minyak pada Ops Nozel di Sungai Burong malam tadi.
Muhamad Zikril (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan harga terkini bahan api di sebuah pam minyak pada Ops Nozel di Sungai Burong malam tadi.
A
A
A

TANJONG KARANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Selangor memberi jaminan bekalan bahan api di negeri ini mencukupi.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pemeriksaan bekalan bahan api petrol dan diesel secara serentak dan berkala yang dilakukan di semua stesen minyak di negeri ini mencukupi untuk jualan harian.

Menurutnya, semua tujuh cawangan KPDNHEP di negeri ini dikerah melakukan pemeriksaan di 140 hingga 150 stesen minyak di Selangor pada setiap minggu.

"Setiap cawangan (KPDNHEP seluruh Selangor) kita tetapkan dua pasukan yang akan bergerak serentak dengan pecahan dua pasukan yang akan memeriksa sebanyak lapan hingga 10 stesen minyak secara berkala," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas 'Ops Nozel' di sebuah stesen minyak di Sungai Burong di sini malam tadi.

Muhamad Zikril berkata, selain pemeriksaan, pihaknya turut mengedarkan arahan bertulis kepada pemilik stesen minyak.

"Pengusaha stesen minyak selaku peniaga berlesen perlu bertanggungjawab dalam memastikan bekalan sentiasa mencukupi untuk jualan harian di premis masing-masing," katanya.

Beliau memberitahu, hasil pemantauan dan pemeriksaan mendapati semua pengusaha stesen minyak mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang operasi itu dilakukan sejak Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, kita tiada menerima sebarang aduan daripada masyarakat tentang ketidakpatuhan stesen-stesen minyak dalam melaksanakan arahan kerajaan.

"Kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat sekiranya ada dalam kalangan pengusaha stesen minyak tidak mematuhi peraturan, maka mereka boleh membuat aduan secara terus kepada sembilan saluran aduan KPDNHEP antaranya melalui WhatsApp, e-Z ADU, laman sesawang dan e-mel," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha stesen minyak sekiranya gagal mematuhi sebarang syarat terkandung dalam lesen runcit barang kawalan mengikut Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1974 iaitu jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali bagi kesalahan pertama atau denda RM3 juta bagi kesalahan kedua dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya," katanya.