Lelaki samun pengawal keselamatan ditahan

KLUANG - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyamun seorang pegawai keselamatan yang sedang bertugas di Bangunan Hong Yuan Hills, Jalan Panggung di sini pada Khamis lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, kejadian dipercayai berlaku pada jam 3.30 pagi ketika mangsa berusia 68 tahun yang sedang bertugas itu tiba-tiba didatangi suspek bersenjatakan sebatang besi dan kayu.
“Suspek terus memukul mangsa di bahagian badan dan kepala menggunakan kayu dan mengambil sebuah telefon bimbit jenama Nokia serta seutas jam tangan yang diletakkan di atas meja.
“Akibatnya, mangsa mengalami bengkak di bahagian kepala, bahagian belakang badan dan bahagian tangan akibat dipukul oleh suspek,” katanya satu kenyatanaan pada Isnin.
Bahrin berkata, susulan kejadian itu mangsa mengalami kerugian RM300 selepas jam tangan dan telefon bimbitnya dilarikan suspek.
Difahamkan, suspek berusia 27 tahun dan beralamat di Kampung Kuala Temekah, Kuala Ketil, Kedah itu ditahan pada Sabtu di Jalan Jelutong, pada jam 10.30 pagi.
Siasatan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah dan satu rekod dadah.
Bagaimanapun, ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.
Kes disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
kes juga sudah dirujuk kepada pihak pendakwaan dan suspek akan dituduh di mahkamah Rabu ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
