Seorang lagi mangsa bot karam ditemukan, 5 masih hilang

MUKAH - Seorang lagi mangsa bot karam di perairan Pantai Belawai dekat Kampung Belawai ditemukan hari ini, menjadikan jumlah kematian lima orang setakat ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mayat kanak-kanak lelaki yang belum diketahui identiti itu ditemukan pada 6 petang kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.
"Status terkini mangsa bot karam ialah lima disahkan meninggal dunia, lima masih hilang dan tujuh terselamat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang masih hilang terdiri daripada lima lelaki dewasa.
Operasi mencari dan menyelamat dalam radius tiga kilometer dari lokasi kejadian ditangguhkan pada 6.40 petang tadi dan akan bersambung esok.
Dalam kejadian pada 2.11 petang semalam, bot gentian fiber membawa 17 penumpang warga Indonesia dari Jeti Nelayan Kampung Belawai ke Jeti Ladang Kelapa Zion Pelita dilaporkan karam.
Tujuh mangsa terselamat terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki, manakala empat yang ditemukan meninggal dunia ialah dua wanita dewasa serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!