[VIDEO] Seorang lagi penjenayah ditembak mati

A
A
A

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki disyaki ahli kumpulan penjenayah tumpas dalam kejadian berbalas tembakan menerusi satu operasi khas berhampiran Bandar Puteri Jaya di sini kira-kira jam 7.50 malam Sabtu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dua suspek yang ditembak mati dalam kejadian di Jitra pada jam 8.05 pagi Sabtu.

Seorang penjenayah tumpas dalam kejadian berbalas tembakan dalam satu operasi khas di Bandar Puteri Jaya pada malam Sabtu.
Seorang penjenayah tumpas dalam kejadian berbalas tembakan dalam satu operasi khas di Bandar Puteri Jaya pada malam Sabtu.

Menurutnya, suspek berusia 34 tahun berasal dari Perak itu dikesan mempunyai lebih 30 rekod lampau berkaitan dadah, samun bersenjata dan kegiatan gengsterisme.

Fadil (kanan) ketika sidang media di lokasi kejadian pada tengah malam Sabtu.
Fadil (kanan) ketika sidang media di lokasi kejadian pada tengah malam Sabtu.

“Satu senjata api dan beberapa barang kes lain turut ditemui. Kita percaya kumpulan ini aktif melakukan samun kedai emas sejak tahun 2022 membabitkan kerugian hampir RM6 juta yang telah direkodkan.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga percaya banyak lagi kejadian samun membabitkan kilang, premis perniagaan dan kedai emas di negeri-negeri lain mempunyai hubung kait dengan kejadian yang dilakukan oleh kumpulan ini,” katanya kepada media di lokasi kejadian, tengah malam Sabtu.

Fadil berkata, kumpulan terbabit dikesan terdiri daripada lebih 10 individu dan pihaknya percaya beberapa lagi serbuan serta tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat.

Katanya, dalam kejadian terbaharu, suspek dipercayai mengetuai kegiatan samun di beberapa lokasi termasuk di Melaka pada Disember lalu, Nilai, Negeri Sembilan pada Mac lalu dan terakhir dikesan di Ipoh, Perak.

Setakat ini, katanya, siasatan dan risikan masih diteruskan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!