Gergasi Merah sedia buktikan kemampuan

PENGENDALI Selangor FC, Katsuhito Kinoshi optimis dengan kemampuan pasukannya dalam menghadapi cabaran sengit Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026.
Menurutnya, meskipun sedar skuad Gergasi Merah diundi dalam kumpulan sukar, namun beliau tetap yakin barisan pemainnya mampu memberikan saingan terbaik untuk melakar pencapaian positif dalam kejohanan tersebut.
“Anda tahu kita tiada pilihan bila berdepan pasukan-pasukan ini di peringkat kumpulan dan sasaran kita dapat layak ke peringkat kalah mati.
“Semua lawan kita adalah pasukan yang mantap, malah ada yang bersaing dalam ACLE (Liga Juara-Juara AFC Elit), termasuk finalis musim lalu,” katanya.
Selangor FC diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan dari Thailand, Buriram United, naib juara musim lalu, Cong An Hanoi FC dari Vietnam, BG Pathum (Thailand), Tampines Rovers FC (Singapura) serta satu lagi pasukan yang akan ditentukan menerusi aksi playoff.
Kinoshi berkata, kejohanan ini juga menjadi medan penting untuk mengukur kemajuan pasukan.
“Ini satu peluang yang baik buat kita menunjukkan kemajuan dalam Liga Super dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2),” katanya.
Selain Selangor, Johor Darul Ta'zim (JDT) juga akan turut beraksi dalam kejohanan sama dan diundi dalam Kumpulan B.
Mereka akan menentang Bangkok United (Thailand), Nam Dinh FC (Vietnam), Lion City Sailors FC (Singapura), PKR Svay Rieng FC (Kemboja) dan satu lagi pasukan dari pusingan playoff.
Untuk rekod, musim lalu Kuala Lumpur City FC dan Terengganu FC menjadi wakil Malaysia dalam kejohanan ini, namun kedua-duanya gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
