Dua sepupu maut dalam perjalanan untuk solat Jumaat

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke HSNZ untuk bedah siasat.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke HSNZ untuk bedah siasat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua sepupu maut dalam perjalanan menunaikan solat Jumaat apabila motosikal mereka dirempuh kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Kubang Parit, di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, Mohd Farid Alwi,16, membonceng motosikal yang ditunggang sepupunya, Mohd Ridwan Hakimi Mohd Ruslam, 15, dalam perjalanan menuju ke masjid berhampiran.

Sebaik tiba di lokasi itu, sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Kuala Terengganu ke Kuala Berang dipandu seorang peniaga berusia 25 tahun dikatakan merempuh motosikal mereka.

Kedua-dua mangsa parah di kepala manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: