Kemenangan Malaysia dicemari aksi kasar

Tular insiden minit ke-93 dalam aksi Malaysia menentang Tajikistan di Dushanbe pada Khamis.
Tular insiden minit ke-93 dalam aksi Malaysia menentang Tajikistan di Dushanbe pada Khamis.
A
A
A

KEMENANGAN skuad bola sepak wanita negara 1-0 ke atas Tajikistan dalam kempen Kumpulan H Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 mencerahkan peluang kemaraan Malayan Tigress.

Namun di sebalik tiga mata penting itu, tular insiden seorang pemain Tajikistan yang cuba mengheret keluar pemain negara, Eusvewana Kadius yang terbaring dipercayai mengalami kecederaan pada minit ke-93.

Bagaimanapun tindakan pemain Tajikistan itu mendapat respons segera kapten pasukan, Intan Sarah Anisah Zulgafli yang menghalang tindakan tersebut dalam aksi di Stadium Republican Central, Dushanbe pada Khamis.

Malayan Tigress kendalian Joel Cornelli yang tampil memburu kemenangan kedua selepas mengatasi Palestin, 1-0 sebelum itu menjinakkan Tajikistan bimbingan Mubin Ergashev,1-0.

Gol kemenangan berharga itu dihasilkan menerusi jaringan Henrietta Justine minit ke-91 yang menanduk masuk hantaran lintang Intan Sarah Anisah untuk tiga mata Malaysia.

Malaysia kini mengumpul enam mata selepas mengharungi dua perlawanan, berkongsi kedudukan teratas Kumpulan H bersama Korea Utara, namun dipisahkan kelebihan jaringan memihak pasukan Asia Timur itu.

Perlawanan menentang Korea Utara pada Sabtu ini bakal menjadi penentu penting bagi Malayan Tigress selepas pendahulu kumpulan itu membelasah Palestin 10-0 di venue sama, menjadikan aksi terakhir kumpulan itu sebagai penentu juara kumpulan dan tiket automatik ke pusingan akhir di Australia dari 1 hingga 21 Mac tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!