Treler terbabas, pemandu maut tercampak dari cermin hadapan

Seorang pemandu treler maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dalam nahas di Jalan Kota Bharu–Gua Musang.
Seorang pemandu treler maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dalam nahas di Jalan Kota Bharu–Gua Musang.
A
A
A

KUALA KRAI – Seorang pemandu treler maut selepas tercampak keluar dari kenderaannya melalui cermin hadapan dalam satu kemalangan di Kilometer 60, Jalan Kota Bharu–Gua Musang, berhampiran Bukit Sireh di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa lelaki berusia 60 tahun dipercayai gagal mengawal kenderaan berat yang dipandunya sebelum melanggar penghadang jalan serta tiang lampu, lalu terbabas ke bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, mangsa yang berasal dari Padang Serai, Kedah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika pemandu treler terbabit dalam perjalanan dari Kilang Kayu Staponal, Batu Jong menuju ke William Timber, Kulim, Kedah.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, dipercayai pemandu gagal mengawal treler yang dipandunya sebelum melanggar penghadang jalan dan tiang lampu, lalu terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, mangsa tercampak keluar dari kenderaan melalui cermin hadapan akibat impak kuat kemalangan.

Menurut Mazlan, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultan Ismail Petra untuk proses bedah siasat.

“Pihak kami menasihatkan semua pemandu agar lebih berhati-hati di jalan raya, khususnya pemandu kenderaan berat yang membawa muatan besar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan terperinci sedang dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai atau menghubungi talian 09-9666222.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!