Tze Yong bakal jalani pembedahan ACL di Doha
Tze Yong jalani rawatan di Doha

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong bakal menjalani pembedahan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di sebuah hospital terkemuka di Qatar dalam usaha menyelamatkan kerjaya badmintonnya.
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata, Tze Yong dijadual menjalani prosedur tersebut di Hospital Ortopedik dan Perubatan Sukan Aspetar di Doha.
Beliau berkata, pusat perubatan tersebut disyorkan oleh Institut Sukan Negara (ISN) dan Tze Yong bersetuju dengan cadangan tersebut.
“ISN sudah berhubung dengan Aspetar dan kami akan cuba usaha untuk dapatkan tarikh pembedahan Tze Yong secepat mungkin,” katanya.
Difahamkan hospital tersebut pernah merawat ramai atlet bertaraf dunia termasuk bintang bola sepak terkemuka dunia seperti Erling Haaland dan Neymar.
Sebagai rekod, Tze Yong baru sahaja kembali beraksi April lalu selepas berehat 14 bulan akibat dua pembedahan belakang.
Bagaimanapun malang menimpa pemain berusia 25 tahun itu apabila mengalami kecederaan lutut kanan ketika pusingan pertama Malaysia Masters Mei lepas.
Sepanjang tempoh kemunculan semula, Tze Yong sempat menyertai empat pertandingan iaitu Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Taiwan, Terbuka Thailand dan Malaysia Masters.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
