Kelantan, Singapura jalin kerjasama pembangunan Islam

KOTA BHARU – Kelantan dan Singapura kini sedang meneroka kerjasama dua hala dalam aspek pembangunan serta hal ehwal masyarakat Islam yang melibatkan kedua-dua wilayah.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, perkara itu dibincangkan dalam satu kunjungan hormat kepada Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura yang juga Menteri Negara Kanan bagi Ehwal Dalam Negeri dan Pembangunan Negara, Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim.
Menurut beliau, pertemuan yang berlangsung selama sejam itu turut menyentuh lima bentuk kerjasama yang dikenali sebagai jalinan mahabbah antara Kelantan dan Singapura.
“Antaranya melibatkan pembangunan dan latihan kepimpinan pegawai agama, potensi pembangunan halal antara Kelantan dan Singapura, pembangunan keluarga serta sosial, pengurusan berkaitan al-Quran dan taranum serta pendidikan Islam termasuk pengurusan masjid.
“Alhamdulillah, semua cadangan ini mendapat perhatian dan maklum balas yang sangat positif, dan akan diteliti serta dipanjangkan secara pentadbiran oleh agensi berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.
Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), Dr. Hasnan Ramli.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

