Lelaki rakam kawan serumah mandi didenda RM3,300

AMPANG – Seorang akauntan didenda RM3,300 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas satu pertuduhan merakam video rakan serumahnya sedang mandi, pada Jumaat minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Fahmi Akmal Zakaria, 30, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Fahmi didakwa mengaibkan kehormatan seorang lelaki berumur 31 tahun dengan cara merakam video mangsa sedang mandi, dengan niat mengganggu kesantunannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pangsapuri di Taman Ukay Perdana, pada jam 8.10 pagi, 20 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa menyedari terdapat cahaya berkelip di rak perkakas semasa sedang mandi di rumah sewanya, lalu mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh rakan serumah.
Mangsa kemudian mengambil komputer riba dan wayar USB milik tertuduh dan mendapati peranti kamera tersebut mempunyai kad memori yang mengandungi video dirinya sedang mandi dalam keadaan bogel.
Semasa prosiding, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Azizi Darus, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman denda minimum atas alasan tertuduh menanggung keluarga.
“Anak guam memaklumkan perbuatan itu dilakukan sekadar gurauan memandangkan dia dan mangsa adalah teman serumah,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan agar tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pencegahan dengan mengambil kira fakta kes bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
“Perkara ini bukan gurauan. Jika video berkenaan tersebar, ia boleh mengaibkan mangsa,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Ramanathan Alias Ashwin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

