Kerusi, meja 'terbang', sembilan individu ditahan terlibat pergaduhan

Dua kumpulan individu menggunakan kerusi sebagai senjata dalam pergaduhan di sebuah restoran di Kinarut, Papar.
Dua kumpulan individu menggunakan kerusi sebagai senjata dalam pergaduhan di sebuah restoran di Kinarut, Papar.
A
A
A

PAPAR – Sembilan individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan dan rusuhan di sebuah restoran di Kinarut, di sini pada petang Ahad.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati antara dua pihak, melibatkan individu berusia antara 19 hingga 50-an.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan tercetus akibat salah faham apabila seorang suspek warga tempatan yang sedang minum di restoran itu memanggil pengusaha restoran warga Pakistan dengan nada kasar.

“Kedua-dua pihak saling tidak berpuas hati dan bertengkar menggunakan nada suara yang tinggi, sebelum tercetus aksi cabar-mencabar yang membawa kepada pergelutan.

“Keadaan menjadi tidak terkawal apabila rakan-rakan mereka yang turut berada di lokasi bertindak campur tangan. Pergaduhan itu semakin tegang apabila kedua-dua pihak menggunakan kerusi dan kayu sebagai senjata untuk saling memukul antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, pergaduhan berjaya dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Keadaan kerusi dan meja berselerakan akibat pergaduhan di sebuah restoran di Kinarut, Papar.
Keadaan kerusi dan meja berselerakan akibat pergaduhan di sebuah restoran di Kinarut, Papar.

Menurut Kamaruddin, siasatan turut mendapati perselisihan faham itu berpunca daripada kejadian seminggu lalu.

Artikel Berkaitan:

“Suspek warga Pakistan tersebut sebelum ini datang ke kedai milik suspek warga tempatan itu untuk menjual besi buruk, namun tidak berpuas hati dengan harga yang ditawarkan kerana dianggap terlalu murah.

“Insiden itu berlarutan apabila pemilik kedai besi buruk datang bersama beberapa rakannya ke restoran tersebut sebagai pelanggan, sebelum tercetus pergaduhan,” katanya.

Tambah beliau lagi, video insiden itu turut tular di media sosial yang memaparkan pergaduhan berlaku dan keadaan meja serta kerusi berselerakan akibat kejadian tersebut.

“Susulan kejadian, kesemua individu terbabit telah menyerah diri sekitar jam 1 tengah hari tadi dan kes disiasat di bawah Seksyen 148/160 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan dan bergaduh di tempat awam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Mazlan Mali di talian 013-656 4978,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kamaruddin turut menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden tersebut.

“Kejadian ini berpunca daripada salah faham antara dua pihak dan tiada kaitan dengan konflik global yang sedang berlaku antara Pakistan dan India,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!