Anak ayam empat kaki curi tumpuan

Anak ayam berkaki empat tular di media sosial di Indonesia. - Agensi
Anak ayam berkaki empat tular di media sosial di Indonesia. - Agensi
A
A
A

PEKALONGAN – Seekor anak ayam milik seorang penduduk di Kabupaten Pekalongan menarik perhatian ramai apabila ia dilahirkan dengan empat kaki, dua daripadanya tumbuh berhampiran sayap.

Anak ayam itu dimiliki oleh Luthfi Hakim, 52, penduduk Dukuh Kalimati, Desa Kedungpatangewu, Kecamatan Kedungwuni.

Menurut Luthfi, anak ayam berkenaan menetas daripada telur pertama seekor ayam betina yang baru pertama kali bertelur.

“Induknya baru pertama kali bertelur, ada lapan biji dan semuanya menetas. Tujuh ekor normal, seekor ini sahaja yang ada empat kaki,” katanya ketika ditemui di rumahnya, lapor detikJateng.

Anak ayam tersebut kini berusia sekitar tujuh hari dan masih aktif.

Difahamkan, dua kaki tambahan yang tumbuh di bahagian atas badan berhampiran sayap turut bergerak ketika ayam itu berjalan, walaupun posisinya menghadap ke atas.

Luthfi berkata, beliau tidak terlalu memikirkan tentang keunikan anak ayam tersebut dan hanya akan memeliharanya seperti biasa.

“Memang tak normal, tapi saya pun tak fikir macam-macam. Pelihara sahajalah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Luthfi, hampir setiap rumah di kawasan itu memelihara ayam, namun ini merupakan kali pertama beliau melihat sendiri anak ayam berkaki empat sepanjang bertahun-tahun membela unggas tersebut.

Sementara itu, pegawai veterinar dari Dinas Ketahanan Pangan dan Pertanian (DKPP) Kabupaten Pekalongan, Mu’tassimbillah, mengesahkan keadaan tersebut sebagai kes cacat lahir yang jarang berlaku, tetapi tidak luar biasa.

“Ia memang jarang terjadi, tetapi itu hanyalah kecacatan semasa lahir. Bukan sesuatu yang luar biasa atau istimewa,” katanya.

Fenomena unik itu kini menjadi perbualan dalam kalangan penduduk tempatan dan menarik perhatian di media sosial. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!