Dua sekawan maut kereta terbabas langgar pokok

MELAKA - Dua sekawan maut selepas kereta yang mereka naiki terbabas lalu melanggar sebatang pokok di pembahagi jalan di Jalan Persisiran Pantai Klebang, Melaka pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian pada 6.45 pagi itu, mangsa yang maut adalah pemandu Proton Wira, Muhammad Nur Zamani Mohd Nazery, 28, dan penumpang, Muhammad Haziq, 25.
"Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Muhammad Nur Zamani dari arah bandar Melaka menghala ke Bukit Rambai melalui Jalan Persisiran Pantai Klebang. Apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan terbabit dipercayai terbabas melanggar kon penghadang jalan lalu berpusing sebelum melanggar pokok di tengah-tengah pembahagi jalan.
"Berikutan kemalangan itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah pada kepala, badan, dan tangan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan 1 Mohd Zahery Mohd Zailani berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.51 pagi sebelum tiba di tempat kejadian 9 minit kemudian.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, pihak kami mendapati pemandu kenderaan terbabit tersepit di dalam kereta manakala rakannya pula tercampak keluar dari kereta itu. Operasi terkawal pada 7.18 pagi dan lapan anggota terlibat dalam operasi menyelamat,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
