Antony sanggup potong gaji, mahu tinggalkan United

PEMAIN sayap Manchester United, Antony dilaporkan sanggup menerima gaji 30 peratus lebih rendah bagi memudahkan perpindahannya dari Old Trafford pada musim panas ini sekali gus memberi harapan buat kelab-kelab yang berminat, khususnya Real Betis.
Ketika ini, Antony meraih sekitar 150,000 pound sterling (RM860,000) seminggu di United, namun pemain antarabangsa Brazil itu bersedia untuk menurunkan permintaannya kepada sekitar 95,000 pound sterling (545,000) seminggu demi merealisasikan perpindahan kekal ke Sepanyol.
United pula dikatakan mahu mendapatkan sejumlah bayaran perpindahan bagi pemain yang mereka beli pada harga 85 juta pound sterling (RM488 juta) dari Ajax pada 2022, dalam usaha menambah dana kewangan kelab.
Walaupun gagal menyerlah sejak kehadiran Ruben Amorim di United, Antony menemui semula prestasinya selepas dipinjamkan ke Betis pada Januari lalu.
Sepanjang 26 penampilan, beliau terlibat dalam 14 gol dan membantu kelab tersebut mara ke final Liga Konferens Eropah.
Baik pihak Betis mahupun Antony telah menyatakan minat untuk menjadikan perpindahan itu kekal, namun timbul kebimbangan terhadap kemampuan kewangan kelab La Liga itu.
Bagaimanapun, laporan Manchester Evening News menyebut kesanggupan Antony menerima gaji lebih rendah mungkin mengubah segalanya.
Antony sebelum ini turut meluahkan keinginan untuk terus bersama Betis.
“Saya cintakan kelab ini, bandar ini, semuanya. Cahaya matahari, orang sekeliling, makanan ia mengingatkan saya pada Brazil.
“Paling penting, saya kembali menjadi diri sendiri. Saya jarang bermain di Manchester United. Saya perlukan kebahagiaan dalam diri," katanya.
Amorim pula dilapor mahu membawa masuk pemain baharu secepat mungkin memandangkan aktiviti perpindahan United setakat ini masih perlahan apabila setakat ini hanya Matheus Cunha disahkan menyertai pasukan.
Pengurus berusia 40 tahun itu mahu pemain baharu turut serta dalam jelajah pramusim tiga perlawanan di Amerika Syarikat yang dianggap sebagai platform terbaik untuk menyesuaikan diri dengan taktikal dan sistem permainannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!