492 anggota polis dikenakan tindakan tatatertib sehingga Mei

MARAN – Seramai 492 pegawai dan anggota polis telah dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tempoh Januari hingga 31 Mei tahun ini, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Seri Azri Ahmad.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, seramai 59 individu telah dijatuhkan hukuman buang kerja dengan kes berkaitan dadah menjadi penyumbang utama kepada tindakan berkenaan.
Dalam tempoh sama, seramai 671 pegawai dan anggota ditahan kerja manakala 146 lagi digantung kerja.
“Sepanjang tempoh tersebut, pihak JIPS PDRM telah menerima sebanyak 2,637 aduan dan maklumat berkaitan tatakelakuan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada pelbagai pihak.
“Dalam tempoh kajian juga, sebanyak 776 Kertas Siasatan Tatatertib (KST) dan 584 Kertas Enkuiri Tatatertib (KET) melibatkan siasatan ke atas seramai 2,076 subjek telah dibuka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, di sini pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dan Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai.
Mengulas lanjut, Azri memaklumkan sejak pelancaran aplikasi Aduan JIPS PDRM pada 4 Jun lalu, sebanyak 23 aduan telah diterima menerusi platform tersebut.
“Kita berharap langkah ini akan membuka laluan yang lebih mudah dan telus untuk masyarakat menyalurkan maklumat kepada PDRM, dan lebih ramai akan tampil menyalurkan aduan,” katanya.
Sementara itu, Azri turut diraikan sempena persaraan rasminya yang akan berlangsung pada 26 Jun ini setelah 37 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan PDRM.
Terdahulu, Kompleks IPD Maran dibina di atas tapak seluas 6.373 hektar dengan kos pembinaan sebanyak RM24 juta yang bermula pada tahun 1997.
Projek itu merangkumi pelbagai fasiliti termasuk balai polis, bangunan pentadbiran, padang kawad, bengkel kenderaan, lot parkir, kediaman anggota pelbagai kelas, dewan, surau dan padang permainan, dan mula beroperasi sepenuhnya sejak Disember 2012.
Kini, IPD Maran memiliki enam balai serta 335 pegawai dan anggota yang bertanggungjawab menjaga keselamatan lebih 115,000 penduduk meliputi kawasan Parlimen Maran, Jerantut dan Kuala Krau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

