Isu Yusoff Rawther: Simpati bukan bererti sokong, kata Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyatakan beliau bersimpati terhadap nasib yang menimpa Muhammed Yusoff Rawther, namun menegaskan tidak berminat untuk memberikan sokongan.
Beliau berkata, Muhammed Yusoff merupakan individu yang pernah menyatakan sokongan secara terbuka terhadap Israel, sedangkan ramai lagi individu lain yang lebih layak menerima perhatian.
“Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz tanya, ini jawapan saya, simpati tetap simpati, tetapi saya bukan penunggang macam kamu dan kawan-kawan kamu dan sejujurnya, orang yang menyokong negara Israel ini saya tidak berminat untuk komen dan sokong.
“Sebab beliau tidak layak mendapat perhatian saya. Bila ada orang menyokong Israel secara terbuka, ini sebab lebih ramai lagi insan yang layak dapat perhatian dan pembelaan dari kami,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, Tun Faisal menerusi hantaran di media sosialnya mempersoalkan pendirian Muhamad Akmal susulan tiada kenyataan dikeluarkan selepas Muhammed Yusoff dilepas dan dibebaskan (DNA) atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambah Muhamad Akmal, mungkin apa yang dianggap sebagai kezaliman terhadap dirinya itu sebenarnya adalah petunjuk daripada ALLAH untuk Muhammed Yusoff.
“Apa yang beliau alami hanyalah sebahagian kecil, mungkin satu peratus sahaja daripada kezaliman yang ditanggung oleh saudara-saudara kita di Palestin yang telah puluhan tahun dizalimi oleh rejim Zionis laknatullah yang beliau sendiri pernah sokong.
“Moga peristiwa ini boleh membuatkan beliau insaf dan ubah persepsi menyokong Israel,” katanya.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal turut mengulas isu melibatkan Muhammad Zaimuddin Azlan, 28, atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon’.
Tegasnya, beliau enggan mengulas lanjut kerana individu berkenaan telah memilih pihak lain sebagai peguam dan wakil, malah telah dibawa ke beberapa lokasi termasuk menghadiri sidang media.
“Mengenai isu Abang Belon, jangan tanya kami, sebab dia dah pilih kamu dan kawan-kawan sebagai peguam dan kamu dah bawa dia keliling kampung, siap ada sidang media.
“Seharusnya tanya diri sendiri dan tanya kawan-kawan kamu apa cerita tentang Abang Belon ya. Dah dia pilih kamu, jangan kamu tinggalkan dia pula separuh jalan sebab dah tak boleh nak tunggang dia,” katanya.
Sementara itu, Muhamad Akmal turut menyindir Tun Faisal untuk bertindak mempersoalkan pendirian ketua pemuda parti sendiri terlebih dahulu.
"Bak kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, sebelum tanya mana suara Ketua Pemuda UMNO, patut tanya mana suara KP kamu dulu.
“Dan saya nak tanya, sanggup ke sokong orang yang secara terang-terangan menyokong Zionis yang membunuh saudara kita di Palestin tu?” soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

