Malaysia cipta sejarah di Piala Dunia Dart

MALAYSIA melakar sejarah tersendiri apabila mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia Dart 2025 yang berlangsung di Eissporthalle Frankfurt, Jerman selepas menumpaskan dua pasukan pilihan dalam saingan Kumpulan F.
Dibarisi Tengku Hadzali Shah Tengku Mustaffa dari Pulau Pinang dan Tan Jenn Ming dari Kuala Lumpur, skuad negara memulakan kempen dengan langkah kanan apabila mengejutkan Kanada, pasukan pilihan ke-10 kejohanan dengan kemenangan 4-1.
Gandingan Tengku Shah-Jenn Ming kemudian meneruskan aksi meyakinkan apabila menewaskan Denmark, juga dengan keputusan 4-1, sekali gus menamatkan saingan selaku juara kumpulan dan mara ke pusingan 16 terbaik.
Pada pusingan kalah mati nanti, Malaysia dijadualkan berdepan Republik Czech yang dibarisi pemain berpengalaman, Karel Sedláček dan Petr Krivka.
Gandingan Sedláček-Krivka turut menyamai pencapaian terbaik mereka sebelum ini apabila mara ke pusingan sama tahun lalu, sebelum tewas tipis 8-6 kepada Sweden dalam aksi sengit.
Malaysia dan Filipina kini menjadi dua wakil Asia yang mara secara merit ke peringkat kalah mati, sementara empat pasukan pilihan iaitu England, Wales, Scotland dan Ireland Utara telah lebih awal layak secara automatik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

