'Dia teruja nak pergi Dabong naik keretapi' - Ibu mangsa

TEMERLOH – "Dia sepatutnya pergi ke Dabong, Kelantan naik keretapi awal padi tadi dan ini kali pertama saya benarkan dia pergi jauh,"
Demikian kata Siti Asmak Wan Abdul Kadir, 40, ibu kepada Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, 18, yang maut bersama rakannya, Nur Erdina Shaffiya Muhammad Nazri, 18, selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta berisi dadah ketika berhenti di lampu isyarat di Jalan Tengku Ismail di sini pada Rabu.
Kedua-dua mangsa yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temerloh turut aktif sebagai sukarelawan menerusi Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) sejak tahun lalu.
Siti Asmak berkata, anaknya bersama rakannya itu keluar pergi makan bersama di bandar dan sepatutnya akan menaiki keretapi ke Dabong kira-kira jam 3 pagi tadi (Khamis).

"Saya susah nak lepaskan anak dan ini kali pertama dia minta untuk menyertai trip dan saya memberikan kebenaran untuk pergi ke sana.
"Dia sangat gembira dan membuat semua persiapan untuk ke sana," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pada Khamis.
Dia yang juga peniaga memberitahu, anaknya juga telah membuat segala persiapan untuk mendaftarkan diri di Kolej Poly-Tech-Mara Kuantan dalam jurusan Diploma Pengurusan Sukan pada 26 Jun depan.
"Masa kejadian, anak dihantar oleh suami saya, Mohd Syahrul Syam Mohd Saleh, 40, kerana saya berada di HoSHAS menjaga bapa," katanya reda walaupun kehilangan anak tunggal perempuannya itu.
Sementara itu, Mohd Syahrul sangat sebak kerana arwah sangat rapat dengannya walaupun anak tiri yang telah dijaga sejak berusia tiga tahun.

"Cuma saya rasa tak sedap hati dan terkilan bila arwah tidak mencium, salam tangan saya dan adik-adiknya seperti kebiasaan apabila keluar dari kereta selepas dihantar ke rumah rakannya di Taman Temerloh Jaya Indah.
"Kira-kira 10 minit kemudian, saya mendapat maklumat mengenai kejadian kemalangan yang menimpa arwah dan rakannya," katanya yang menyifatkan arwah seorang anak yang baik.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, Aneez yang membonceng motosikal yang ditunggang Nur Erdina disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

