Holgado tempelak wartawan Colombia

PENYERANG América de Cali, Rodrigo Holgado, yang baru dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya, tampil membalas kecaman wartawan sukan Colombia, Eduardo Luis López, yang mempertikaikan kesetiaannya terhadap kelab.
Dalam satu komen di Instagram, Holgado menyifatkan kenyataan Eduardo sebagai tidak berasas dan bersifat memperlekehkan pemain.
Wartawan tersebut sebelum ini mendakwa bahawa Holgado menyertai pasukan kebangsaan Malaysia semata-mata kerana insentif kewangan dan meninggalkan América de Cali ketika kelab itu sedang menghadapi perlawanan penting peringkat separuh akhir liga.
Namun, Holgado membalas kritikan tersebut dengan menyatakan bahawa Eduardo tidak layak untuk memberi komen, kerana beliau tidak memahami apa yang dirasai oleh pemain bola sepak profesional.
Kontroversi itu turut mendapat perhatian penyerang kelahiran Colombia, Pablo Sabbag, yang menyokong Holgado dan menegaskan bahawa mewakili pasukan kebangsaan merupakan satu penghormatan besar yang tidak sepatutnya dipersoalkan.
Holgado, 29, merupakan antara lima pemain berdarah warisan baharu yang dipanggil bagi memperkuat kem Harimau Malaya dalam menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.
Selain Holgado, empat lagi pemain yang dipanggil ialah Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Facundo Garcés dan Imanol Machuca, yang masing-masing dijangka memainkan peranan penting dalam perancangan ketua jurulatih, Peter Cklamovski.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
