Lori rempuh lima kenderaan di Lebuhraya PLUS

BIDOR - [DIKEMAS KINI] Pemandu dan penumpang lima kenderaan berdepan detik cemas apabila sebuah lori membawa muatan ikan merempuh barisan kenderaan di Kilometer 341.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Bidor di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.26 malam itu, kesemua 16 mangsa yang terlibat termasuk empat kanak-kanak dilaporkan selamat namun empat daripadanya mengalami trauma dan pening sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya jentera di lokasi pada jam 7.41 malam, didapati kemalangan membabitkan sebuah lori membawa ikan dan lima buah kereta lain. Tiada mangsa tersepit atau mengalami kecederaan serius.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori gagal membrek lalu merempuh sebuah Proton Exora sebelum mengenai kenderaan lain yang berada di hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Antara kenderaan lain yang terlibat ialah Honda HRV, Honda City, Toyota Alphard dan Proton Persona.

Sabarodzi berkata, anggota yang terlibat melaksanakan pemeriksaan serta memindahkan mangsa ke tepi jalan untuk menenangkan mereka sebelum diserahkan kepada pihak polis dan ambulans bagi tindakan selanjutnya.
Jelasnya, operasi melibatkan tujuh anggota serta satu jentera ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.20 malam selepas kawasan disahkan selamat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Johari Yahya berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian berlaku disebabkan lori muatan ikan tersebut tidak sempat membrek.
Katanya, disebabkan kejadian itu lorong kecemasan, lorong kiri dan lorong kanan ditutup sementara untuk kerja-kerja pembersihan sekali gus memperlahankan trafik di laluan berkenaan.
Jelas beliau, bagaimanapun trafik kembali lancar selepas kerja-kerja pembersihan berkenaan selesa dilaksanakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

