Pesara guru rugi RM108,520 diperdaya ‘pegawai SKMM’

Suspek mendakwa kononnya wanita itu terbabit dalam satu kes penipuan membabitkan pelaburan serta pinjaman yang tidak pernah wujud. Gambar hiasan
Suspek mendakwa kononnya wanita itu terbabit dalam satu kes penipuan membabitkan pelaburan serta pinjaman yang tidak pernah wujud. Gambar hiasan
A
A
A

TANGKAK - Seorang pesara wanita kerugian lebih RM100,000 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan anggota polis, kononnya terlibat dalam kes pelaburan serta pinjaman tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, mangsa berusia 58 tahun itu menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai SKMM pada 9 Mei lalu sebelum dihubungkan pula kepada ‘anggota polis’.

Menurut beliau, suspek mendakwa kononnya wanita itu terbabit dalam satu kes penipuan membabitkan pelaburan serta pinjaman yang tidak pernah wujud.

“Mangsa yang panik telah terjerat dengan helah sindiket, lalu akur apabila diminta memindahkan wang simpanan ke akaun lain bagi tujuan kononnya untuk diaudit.

“Pada 23 Mei, mangsa telah melakukan 16 transaksi ke dalam dua akaun berbeza yang dipercayai akaun keldai seperti diarahkan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, akibat tindakan itu, mangsa mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM108,520 sebelum menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis semalam.

Ujarnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, Roslan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang menawarkan pelaburan dengan janji keuntungan besar dalam masa singkat.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai juga diseru agar segera membuat semakan sekiranya menerima panggilan mencurigakan.

"Dapatkan maklumat tepat melalui saluran rasmi seperti Facebook, Instagram dan TikTok milik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

"Orang awam yang menjadi mangsa penipuan perlu segera menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 bagi membolehkan tindakan awal diambil termasuk menyekat pengaliran wang daripada akaun," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!