'1.5 tan keli Afrika berjaya didaratkan semula'

Sebanyak 1.5 tan keli Afrika dinaikkan dalam program pertandingan memancing di Tasik MAEPS, Serdang pada Sabtu.
Sebanyak 1.5 tan keli Afrika dinaikkan dalam program pertandingan memancing di Tasik MAEPS, Serdang pada Sabtu.
A
A
A

SERDANG – Program pertandingan memancing di Tasik MAEPS, di sini berjaya menaikkan 1.5 tan spesies invasif iaitu ikan keli Afrika pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, program itu telah berlangsung bermula jam 10 pagi hingga 2 petang.

Menurutnya, pihak urus setia telah menyediakan tong bagi tujuan peserta mengisi ikan asing, terutama ikan keli Afrika, untuk ditimbang dan dikira bilangannya.

"Sebanyak 928 ekor ikan keli berjaya didaratkan dengan berat keseluruhan 1,100 kilogram (kg) setakat jam 1.30 petang sehingga pertandingan tamat.

"Penganjur, atas kebenaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), telah meneruskan aktiviti memancing dengan pemantauan urus setia sebelum dimaklumkan bahawa tambahan 400 kg ikan keli Afrika didaratkan pada sebelah petang," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, secara keseluruhan, sebanyak 1,500 kg ikan keli Afrika telah didaratkan di Tasik MAEPS, Serdang.

Tambahnya, DOF dimaklumkan bahawa aktiviti memancing secara tidak rasmi dibenarkan dijalankan di tasik tersebut sehingga Isnin (2 Jun) dan terbuka kepada semua pengunjung Program ShowTech 2025.

Jelasnya, pihak MARDI juga akan menjalankan langkah mitigasi selanjutnya seperti yang telah dibincangkan bersama DOF Selangor.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sejumlah 2,000 kg ikan keli Afrika, yang dianggarkan sekitar 1,300 ekor dengan purata berat 1.5 kg seekor, dipercayai telah dilepaskan ke dalam Tasik MAEPS pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Susulan aduan awam yang diterima, DOF pada Jumaat telah melakukan lawatan tapak dan mengadakan sesi libat urus berhubung perkara itu.

Pelepasan ikan keli tersebut dilakukan oleh pihak penganjur pertandingan memancing sempena Program ShowTech 2025 anjuran MARDI, tanpa sebarang pemakluman atau permohonan mendapatkan khidmat nasihat daripada Pejabat Perikanan Negeri Selangor.

DOF memandang serius sebarang pelepasan spesies ikan asing ke dalam perairan umum kerana tindakan ini boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem, mengancam spesies tempatan dan memberi kesan jangka panjang terhadap sumber perikanan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!