Kabinet Muhyiddin 'terlalu besar': Fahmi Fadzil

Fahmi Fadzil ditemui pada Program Pertahan Mandat Rakyat yang diadakan secara tertutup di Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara malam ini.
Fahmi Fadzil ditemui pada Program Pertahan Mandat Rakyat yang diadakan secara tertutup di Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara malam ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan Kabinet diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin 'terlalu besar' iaitu seramai kira-kira 70 orang menteri dan timbalan menteri berbanding Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Strategi Komunikasinya, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, semasa pemerintah PH, hanya 56 menteri yang dilantik dalam barisan kerajaan dengan 28 menteri manakala bakinya menjadi timbalan menteri.

Menurut Ahmad Fahmi, beliau juga kesal apabila jumlah wanita yang menganggotai Kabinet baharu hanya 12.85 peratus berbanding Kabinet PH yang menampilkan lebih ramai wanita dalam barisan Kabinetnya sebelum ini.

"Ini satu yang dikesali selepas sehari sambutan Hari Wanita Sedunia. Tambahan saya rasa "the average age" Kabinet (baharu) ini kelihatan dianggotai oleh rata rata mereka yang berumur lewat 50-an iaitu sekitar 57 tahun.

"Apa pun bagi saya apa yang agak baik adalah keterlibatan mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada beliau," katanya malam ini.

Ahmad Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai ditemui di lobi Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara sempena Program Pertahan Mandat Rakyat yang diadakan secara tertutup di pusat konvensyen itu.

Program itu dihadiri pemimpin tertinggi PH antaranya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Bagaimanapun kesemua pemimpin tertinggi PH yang hadir dikawal pengawal keselamatan dan media hanya dibenarkan menunggu di luar dewan konvensyen sepanjang program berlangsung malam ini.

Artikel Berkaitan: